Thursday, May 21, 2009

MPMN : Jangan Jadi Gerakan Elit

Oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh*

Merujuk kertas kerja yang pernah dibentangkan oleh saudara Shazni Munir Bin Mohd Ithnin[1] bertajuk Halatuju Baru Gerakan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS): Suatu Analisis Dan Saranan[2] begitu menyentakkan paradigma aktivis yang bergelumang dalam kancah arena student movement.

Betapa tidak, tanpa disedari rupanya koalasi gerakan mahasiswa pada hari ini, seakan anak ayam yang kehilangan ibunya. Orientasi ke sana dan ke mari dihanyut ribut politik luar. Dan suasana ini, sedikit sebanyak terkesan juga pada gerakan mahasiswa yang dinamakan Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN).

Dari BBMN kepada MPMN

BBMN mengumpulkan perwakilan mahasiswa yang pro-kebenaran (biasa disebut pro-mahasiswa) seluruh kampus. Boleh juga dikatakan anti-estabishment yang bertindak menjadi kumpulan pendesak (pressure group) kepada satu-satu polisi kerajaan yang tidak adil.

Lebih sepuluh tahun, Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) berperanan sebagai agen membawa suara rintihan mahasiswa dan masyarakat. Ini dibuktikan, dalam siri-siri desakan kepada rejim pemerintah, keseluruhannya banyak mendapat perhatian umum.

Dalam isu tanah dan rumah rakyat di Kampung Berembang, masih tersemat di ingatan, BBMN sendiri menjadi benteng manusia, mempertahankan hak rakyat.

Sehingga baru-baru ini, BBMN mendapat wajah baru setelah direbranding kepada Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) dengan mengekalkan konsep perjuangan yang sama.

MPMN dan Menifestasi Perjuangan

Nafas yang pernah dihembuskan BBMN haruslah dipanjangkan oleh MPMN. Bahkan harusnya dirancakkan lagi. Masakan tidak, dalam fenomena angin ‘politik baru’[3] serta faktor perubahan rakyat pasca Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12).

YB-YB (disebut Yang Berkhidmat) di dalam majlis, perlu diagendakan pasakan student governance atau kerajaan mahasiswa. Berfikir seolah negarawan, bertindak seperti seorang Perdana Menteri atau Presiden.

Pola dan kedudukan perjuangan semestinya sealiran dan menyelami apa kehendak akar umbi (marhaen) serta atasan (kerajaan) dan juga tidak terlalu dogmatik. Ini kerana politik Malaysia kini menghidangkan satu realiti kemelut tidak terduga.

MPMN perlu memastikan barisan kepimpinannya melangakaui bangsa (multi-racial) dan rentas agama (multi-relegion). Membuat keputusan berdasarkan sifat Malaysian country [4] dan tidak hanya syok sendiri.

Justeru itu, ia seakan berkapasti mengambil-alih kerajaan. Line-up kepimpinan ‘menunggu’, sudah ada siapa Perdana Menteri dan kabinet yang lebih kompeten dan bersih daripada kerajaan yang sedia ada.

Jika mahu berpencak di halaman rakyat, MPMN mesti meletakkan kedudukan mereka lebih rendah dari rakyat. Namun, tatkala berhadapan dengan pihak pemerintah, bersuara bak ketua kerajaan. Lebih mudah disebut ‘berjiwa rakyat, berminda kerajaan’.

MPMN dan Beberapa Peringatan

Gerakan tidak pernah mati. Tetapi pejuangnya yang pergi dan terus berganti.

Persediaan dan persiapan perlu dicermati. Seharusnya, MPMN tahu bahawa period pemerintahannya berasaskan Pilihan Raya Kampus (PRK). Keadaan yang menjanjikan ketidak-tentuan.

Boleh saja MPMN terus berkubur sekiranya tiada langsung ahlinya yang memenangi PRK pada suatu-suatu masa akan datang. Perlu diingat juga, pemerintah kampus (atau disebut HEPA) sedang menyusun strategi bagi mengebumikan calon-calon pro-mahasiswa ini.

Masakan tidak, sistem dan undang-undang dikuasai sepenuhnya oleh mereka. Dan jangan pelik, seandainya lima tahun akan datang, MPM akan menjadi seperti pengawas sekolah, pak turut kepada guru besar. Gah pada bunyinya namun layu gerakannya.

*penulis merupakan ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), merangkap ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM), juga Naib Timbalan Presiden 1, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).



[1] Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya sesi 2009/10 merangkap Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia dan Speaker Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS).

[2] Dibentangkan pada Konvensyen Halatuju Gerakan Mahasiswa Islam (K-GMI) pada 18 Mei 2009.

[3] Merujuk gagasan yang pernah dicetuskan oleh Dr Zulkifli Ahmad, Pengarah Pusat Penyelidikan Pas Pusat. Boleh juga membandingkan dengan gagasan Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia dalam bukunya Poltik Baru, terbitan ITNM.

[4] Malaysian Country : Sifat kepada sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk iaitu Melayu, Cina dan India. Serta kepelbagaian bangsa yang lain serta bervariasi agama. Ia juga disebut negara bangsa.

1 comment:

  1. perkongsian yg amt berguna, semoga diberikan kekuatan utk terus menulis..amin (^_^)

    ReplyDelete