Tuesday, April 21, 2009

Politik Baru VS Sistem Pendidikan : Mana Lebih Integrasi?

1. Kalau dicermati kata-kata Timbalan Perdana Menteri yang baru pada minggu lepas, sistem pendidikan negara bakal dirombak dan akan melalui proses transformasi ke arah sistem pendidikan yang tidak bematlamatkan peperiksaan dan akademik semata-mata.

2. Sewaktu mula-mula dulu pun, ketika Dato’ Hishamuddin mengetuai Kementerian Pelajaran, antara yang disebut-sebut juga adalah untuk menjadikan sistem pendidikan negara lebih kepada penghayatan kefahaman pelajar berbanding sistem yang lebih sinis digelar sebagai exam oriented.

3. Kalau kita teliti secara umum dasar-dasar pendidikan negara, bermula era penyusunan (1957-1970) kepada fasa pembangunan pendidikan (1970-1990), hampir seluruh asas penting adalah mahu memupuk perpaduan dan integrasi pelbagai kaum.

4. Ini kerana kerajaan melihat satu-satunya medium kesatuan bangsa Melayu, Cina dan India (kaum majoriti) adalah melalui pendidikan.

5. Namun, sehingga hari ini kesannya masih belum lagi dapat dirasai. Jika sekadar orang Melayu makan capati dan minum teh tarik, orang Cina makan nasi lemak dan Mamak menjual Yong Tau Fu, maka itu belum lagi dinamakan perpaduan. Itu toleransi namanya.

Sistem Pendidikan dan Politik Baru

6. Pasca Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, mengubah 360 darjah landskap negara. Tidak kira sudut politik, ekonomi, pendidikan mahupun agama. Paling terbukti adalah beralihnya sokongan beberapa kaum di beberapa tempat kepada parti-parti politik yang tidak bertemakan perkauman.

7. Buktinya, PAS melalui Kelab Penyokongnya berjaya menarik ribuan pengikut dari kalangan Cina dan India , walaupun laungan yang dibawa adalah bersalutkan Islam. PKR pula, membawa gagasan ketuanan Rakyat berbilang bangsa, lebih lagi menjadi pilihan rakyat yang muak dengan perkauman dan penindasan yang teruk.

8. Saya sudah nampak yang ada beberapa alternatif selain pendidikan yang mampu untuk membina elemen perpaduan dalam masyarakat Malaysia . Jawapannya melalui politik!

9. Ya. Mungkin orang akan kata kurang yakin. Alasannya politik itu kotor, tidak kekal, menjatuhkan orang, mahukan kuasa dan macam-macam lagi. Tetapi saya tidak nampak semua itu dalam ‘Politik Baru’.

10. ‘Politik Baru’ yang menggagaskan nilai-nilai, keadilan, kesucian demokrasi, kebebasan bersuara, pendidikan, nilai sejagat, hak asasi manusia, terbuka, kritikal, perpaduan, amanah, integriti dan menentang penyalahgunaan kuasa, rasuah, perpecahan dan khianat. Ia membentangkan jalan baru yang lebih cerah.

11. Masyarakat akan lebih terdidik melalui ‘Politik Baru’ berbanding mencipta sistem yang mengongkong dan memaksa masyarakat menghayati perpaduan, sedangkan rukun-rukun perpaduan langsung tidak diajar.

12. Barangkali, Pakatan Rakyat boleh menjadikan ini sebagai satu eksperimen alternatif perbandingan dengan sistem pendidikan negara sekarang, mana yang lebih berkesan dalam memupuk perpaduan dan integrasi. Sistem Pendidikan atau Politik Baru. Namun, yang pasti, kedua-duanya mendidik.

Sekolah Pemikiran Politik Baru (SPPB).